Kepimpinan Berintegriti Diperkasa Melalui Kursus MIKM di Mukah
MUKAH: Program Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 3 (Rintis) Siri 1 Bilangan 1/2026 Bahagian Mukah memberi manfaat besar dari segi ilmu dan pemantapan kemahiran kepada peserta yang terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, KMKK memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi dalam menyampaikan dasar dan polisi kerajaan.
Menurutnya, pemimpin masyarakat perlu dilengkapi ilmu pengetahuan serta kemahiran pentadbiran kerana mereka berhadapan secara langsung dengan keperluan komuniti setempat.
"Saya percaya mereka memberikan yang terbaik kerana rata-rata mempunyai pengalaman yang luas dalam urus tadbir," katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian kursus tersebut yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, di sini pada Khamis.
Sementara itu, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, kepimpinan bukan sekadar jawatan, tetapi tanggungjawab yang menuntut keadilan, kesabaran, kejujuran dan keberanian dalam membuat keputusan yang betul walaupun ianya merupakan satu keputusan yang sukar.
"Ini kerana, masyarakat hari ini lebih peka dan mereka menilai perkara yang kita lakukan serta ucapkan. Tetapi jika amanah dikhianati, kepercayaan akan hilang," ujarnya.
Beliau berharap, peserta menggunakan peluang berkenaan untuk memperkukuhkan diri sebagai pemimpin serta menjadi contoh kepada masyarakat.-EDISI UKAS