Kerajaan Sarawak Hargai Komitmen Anggota Badan Uniform, Pastikan Keselamatan Negeri Terpelihara
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menghargai komitmen anggota badan beruniform yang bertugas tanpa mengira waktu termasuk ketika musim perayaan di barisan hadapan demi memastikan keselamatan negeri terpelihara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ketika masyarakat menyambut hari perayaan bersama keluarga, ramai petugas keselamatan kekal komited melaksanakan tanggungjawab, khususnya apabila statistik menunjukkan peningkatan ketara kemasukan ke Sarawak pada musim perayaan.
“Kita cuba membantu supaya ada semangat perayaan bersama-sama dengan mereka walaupun jauh daripada keluarga,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Tahun Baru Cina 2026, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Jumaat.
Premier Sarawak menambah, inisiatif pemberian Sumbangsih pada hari perayaan lain selain Hari Raya merupakan ilham arwah isterinya, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang yang menginginkan nilai inklusiviti dalam pemberian bantuan kepada badan beruniform.
“Saya yakin ini dapat kita teruskan dan disebabkan pertambahan ini, Alhamdulillah tahun ini kita memperuntukkan RM5.1 juta untuk program seperti ini khasnya untuk hari perayaan,” ujar beliau lagi.
Pada tahun ini kerajaan melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak akan mengagihkan sebanyak 11,900 kontena berupa makanan kepada 11 agensi penerima.
Antara penerimanya ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS