Perkasa Pembangunan Luar Bandar Menerusi Bantuan Bahan Binaan
SIBU: Komitmen memperkasa pembangunan luar bandar terus dizahirkan apabila 28 pintu penduduk Rumah Panjang Patrick Entili di Ulu Siong menerima bantuan bahan binaan bagi merealisasikan pembinaan rumah panjang baharu yang lebih selamat dan berkualiti.
Bantuan berkenaan disalurkan menerusi inisiatif Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta sebagai usaha menyokong keperluan asas komuniti rumah panjang di kawasan pedalaman.
Penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Selangau, Munan John Andrew yang mewakili beliau dalam satu sesi ringkas bersama penduduk setempat.
Bantuan yang diagihkan merangkumi pelbagai bahan binaan asas seperti simen, cat, papan gypsum serta keperluan pembinaan lain bagi memastikan projek pembinaan 28 pintu rumah panjang itu dapat dilaksanakan secara terancang dan lancar.
Menurut wakil beliau, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Ahli Parlimen Selangau dalam memperkasa pembangunan luar bandar, khususnya dalam aspek penyediaan kemudahan kediaman yang lebih berkualiti, selamat dan selesa untuk komuniti rumah panjang.
“Pembangunan luar bandar perlu diberi perhatian berterusan agar masyarakat di kawasan pedalaman tidak ketinggalan daripada arus pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Projek pembinaan rumah panjang baharu itu bertujuan menyediakan kediaman yang lebih kukuh serta meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan setiap keluarga, di samping memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat.
Sementara itu, penduduk Rumah Panjang Patrick Entili menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan sokongan yang disalurkan, sambil menyifatkan bantuan tersebut sebagai langkah signifikan dalam merealisasikan impian memiliki kediaman yang lebih selesa dan selamat. –EDISI UKAS