Jambatan TTM Diterangi LED, Meriahkan Sambutan TBC Di Bintulu
BINTULU: Jambatan Tun Taib Mahmud (TTM) kini tampil lebih menarik apabila dihiasi pencahayaan Diod Pemancar Cahaya (LED) berwarna-warni sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026, sekali gus menceriakan suasana bandar pada waktu malam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata pencahayaan tersebut dinyalakan setiap hari dari jam 7 malam hingga 11 malam sepanjang musim perayaan sehingga Cap Goh Mei.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi memberi suasana baharu kepada penduduk setempat serta menarik minat pengunjung luar untuk berkunjung ke Bintulu.
“Pencahayaan ini bukan sahaja memeriahkan sambutan perayaan, malah menyerlahkan keindahan landskap bandar pada waktu malam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pencahayaan Lampu LED di jambatan berkenaan di sini, pada Khamis.
Tambahnya, jambatan tersebut kini semakin dikenali sebagai antara mercu tanda utama bandar yang mempunyai nilai estetika tinggi, khususnya dari segi pencahayaan dan panorama.
Katanya, perkembangan itu mampu memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan tempatan.
“Ramai pengunjung mengambil peluang bergambar dan menikmati pemandangan pada waktu malam, sekali gus mempromosikan Bintulu secara tidak langsung,” ujarnya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan di kawasan yang dibenarkan seperti di sekitar tebingan (waterfront), Lasar Kenyalang dan kawasan lapangan terbang lama bagi memastikan keselamatan serta kelancaran trafik.
Beliau berkata, dari lokasi tersebut, pengunjung boleh menikmati pemandangan jambatan dengan lebih selesa dan selamat.
Majlis perasmian pencahayaan hiasan berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Dr Cassidy Morris.
Inisiatif itu dijangka dapat memperkukuh imej Bintulu sebagai sebuah bandar moden dan berdaya saing, selain mewujudkan suasana perayaan yang lebih meriah kepada masyarakat. -EDISI UKAS