16 Barangan Dikawal Menerusi SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 di Sarawak
SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 selama sembilan hari bermula hari ini hingga 21 Februari depan bagi memastikan harga barangan keperluan kekal stabil sepanjang musim perayaan.
Pengarahnya, Matthew Dominic Barin berkata, skim tersebut merangkumi empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan.
Menurutnya, sebanyak 16 barangan ditetapkan sebagai harga terkawal, antaranya ikan bawal putih, bawang putih tempatan dan import dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, sawi pendek atau sawi Jepun serta cili merah.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Walkabout dan Pelancaran SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 di Pasaraya Farley pada Jumaat.
Bagi memastikan pematuhan, seramai 207 Pegawai Penguat Kuasa dan 101 Pegawai Pemantau Harga digerakkan ke pasar awam, pasar tani, pasar tamu, pasar raya dan pusat beli-belah di seluruh negeri.
Semua barangan terkawal diwajibkan menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu untuk memudahkan pengguna mengenal pasti harga yang ditetapkan.
Tindakan tegas akan dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap peniaga yang menjual melebihi harga maksimum atau gagal mempamerkan tanda harga khas, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan harga atau bekalan melalui WhatsApp 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.
Hadir sama wakil Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Kaunselor Jenny Ting Hua Hung, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Sarawak serta Mohamad Khairi Jamaludin, Pengerusi Kumpulan Farley Lau Siew Whye serta tetamu lain. - EDISI UKAS