Parit Konkrit Kampung Semera Lot Baru Dinaik Taraf, Perkukuh Sistem Saliran Kampung
SADONG JAYA: Usaha memperkukuh sistem saliran bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan kampung terus dipergiat apabila projek naik taraf parit konkrit di Kampung Semera Lot Baru berjaya disiapkan sepenuhnya, sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Sesi penyerahan projek siap telah diadakan pada Jumaat menandakan kejayaan pelaksanaan projek tersebut yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong.
Penyerahan projek disempurnakan oleh Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (DID) Bahagian Samarahan, Nyuak Iba kepada Ketua Kaum kampung berkenaan, Jamali Serol dan disaksikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Turut hadir ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen, Idris Ibrahim serta Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup.
Projek bernilai RM150,000 itu melibatkan kerja awal dan kerja am termasuk pembinaan longkang konkrit bertetulang bersaiz 600mm x 600mm sepanjang 300 meter.
Pelaksanaannya turut mendapat kerjasama komuniti menerusi gotong-royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Semera Lot Baru.
Kerja naik taraf bermula pada 28 Julai 2025 dan siap sepenuhnya pada 24 Januari 2026, namun berjaya diselesaikan lebih awal iaitu pada 2 Oktober 2025, sekali gus mencerminkan pelaksanaan projek yang cekap dan berkesan.
Dalam lawatan tersebut, Rodiyah turut mendengar taklimat ringkas daripada pihak DID mengenai pelaksanaan projek serta keperluan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan sistem perparitan kampung kekal berfungsi dengan baik.–EDISI UKAS