Dewan Perpaduan Kampung Semera Lot Siap Dinaik Taraf, Perkukuh Kemudahan Komuniti di Sadong Jaya
SADONG JAYA: Dewan Perpaduan Kampung Semera Lot kini tampil berwajah baharu selepas kerja-kerja naik taraf di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) 2025 disiapkan sepenuhnya, sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan penduduk setempat.
Majlis ringkas penyerahan siap projek tersebut telah disempurnakan oleh kontraktor kepada Ketua Kaum Kampung Semera Lot, Sairi Hajimi serta disaksikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee pada Jumaat.
Projek bernilai RM150,000 yang bermula pada 16 Disember 2025 dan siap sepenuhnya pada 9 Februari 2026 merangkumi pembaikan dinding, pemasangan penghawa dingin, naik taraf kemudahan tandas lelaki dan perempuan serta pemasangan lampu baharu di dalam dewan.
Penambahbaikan berkenaan membolehkan dewan tersebut menampung kehadiran lebih ramai penduduk dan digunakan secara optimum untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sukan serta rekreasi, di samping mengeratkan interaksi sosial dan memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti.
Ketika ditemui pemberita, Rodiyah berkata dewan berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan, malah sesuai dijadikan lokasi penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi.
Beliau turut berharap agar penduduk setempat dapat menjaga kemudahan yang telah dinaik taraf serta memanfaatkannya sepenuhnya demi kepentingan bersama.
Projek tersebut dikendalikan oleh Maha Enterprise selaku kontraktor dengan pemantauan dan penyelarasan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) sebagai agensi pelaksana.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Batang Sadong, Idris Ibrahim, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup, Penolong Juruukur Bahan Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), Siti Nor Amnisyukrina Abduraya serta Penghulu Kampung Semera, Mahdi Li.
Dengan siapnya projek ini, Dewan Perpaduan Kampung Semera Lot kini menjadi pusat komuniti yang lebih lengkap dan selesa, seterusnya menyokong pembangunan sosial serta kesejahteraan penduduk di kawasan Sadong Jaya.-EDISI UKAS