Kestabilan Sarawak Bolehkan Kerajaan Fokus Kepada Pembangunan
KUCHING: Kestabilan Sarawak membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri demi memastikan manfaat kemajuan dapat dinikmati oleh seluruh komuniti tanpa mengira latar belakang kaum.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, hubungan baik dan kerjasama erat antara masyarakat berbilang kaum menjadi asas kepada kestabilan yang membolehkan pembangunan negeri dilaksanakan secara berterusan.
“Keadaan ini membolehkan Sarawak kekal stabil dan kita dapat memberikan tumpuan kepada pembangunan negeri demi manfaat setiap komuniti di Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan dan Jamuan Makan Malam Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (FCAS), di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan Sarawak tidak membezakan latar belakang kaum, sebaliknya membuka peluang kepada semua komuniti untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi dan kemajuan negeri.
Sehubungan itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan kepentingan kerjasama antara kaum bagi memastikan masyarakat dapat bergerak bersama dalam menghadapi perubahan ekonomi dan perkembangan dunia yang semakin mencabar.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Presiden FCAS Dato Sri Richard Wee dan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia Dato Lim Kah Chuan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir