Penguasaan Mandarin Buka Peluang Ekonomi Lebih Luas Untuk Sarawak
KUCHING: Penguasaan bahasa Mandarin dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum berpotensi membuka lebih banyak peluang perdagangan dan memperluas jaringan ekonomi Sarawak, khususnya dengan negara yang menggunakan bahasa berkenaan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keupayaan berkomunikasi dalam bahasa Mandarin merupakan satu kelebihan dalam membina hubungan ekonomi dengan pasaran antarabangsa.
“Jadi, apabila terdapat golongan Bumiputera yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, komunikasi yang berkesan dapat terjalin terutamanya dalam bidang ekonomi sekiranya anda ingin menjual produk anda,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan dan Jamuan Makan Malam Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (FCAS), di sini pada Selasa.
Menurut Premier Sarawak, penguasaan bahasa berkenaan tidak seharusnya terhad kepada satu kaum sahaja, sebaliknya boleh dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat Sarawak bagi meningkatkan keupayaan berinteraksi dalam persekitaran ekonomi antarabangsa.
Beliau turut menyentuh perkembangan penyertaan pelajar Bumiputera di sekolah aliran Cina yang menurutnya membuka ruang kepada lebih ramai masyarakat menguasai bahasa Mandarin.
Dalam konteks itu, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh sistem pendidikan bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan selaras dengan keperluan ekonomi semasa. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir