Karnival Kampung Sindang 2026 Platform Perkasa Perpaduan & Pembangunan Setempat
KOTA SAMARAHAN: Karnival Kampung Sindang 2026 bukan sekadar acara tahunan berunsur rekreasi, malah menjadi medan strategik memperkukuh perpaduan komuniti serta menyampaikan maklumat pembangunan setempat secara terus kepada masyarakat.
Majlis pelancaran karnival tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang di Dewan Badminton Kampung Sindang pada Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan kampung serta komuniti setempat atas komitmen berterusan dalam menganjurkan karnival tahunan tersebut yang dilihat semakin berkembang sejak pasca pandemik COVID-19.
Menurut beliau, penganjuran karnival bukan sekadar aktiviti hiburan, malah menjadi platform penting dalam memupuk perpaduan, semangat kerjasama serta perkongsian ilmu dalam kalangan masyarakat setempat.
“Karnival seperti ini mampu menyatukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, sekali gus memperkukuh kesepakatan komuniti dalam mendepani cabaran pembangunan semasa,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa program komuniti memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat memahami isu pembangunan setempat termasuk bekalan air, elektrik, kesesakan jalan raya serta pembangunan sosioekonomi.
Mengulas isu bekalan air, beliau memaklumkan beberapa projek naik taraf termasuk penggantian paip lama sedang dilaksanakan bagi memastikan bekalan air lebih stabil kepada penduduk kawasan terlibat.
Selain itu, beliau turut menyentuh usaha kerajaan dalam merancang peluasan kawasan penempatan baharu bagi menangani peningkatan populasi serta memastikan pembangunan kampung lebih terancang dan sistematik.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan persatuan dan jawatankuasa kampung mendaftarkan organisasi masing-masing dengan agensi berkaitan bagi memudahkan penyaluran bantuan kerajaan termasuk geran pembangunan komuniti.
Sebagai sokongan kepada penganjuran karnival, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menjayakan program tersebut melalui jawatankuasa komuniti yang berdaftar.
Beliau berharap Karnival Kampung Sindang akan terus menjadi platform memperkukuh perpaduan, semangat kesukarelawanan serta pembangunan komuniti secara menyeluruh.
Turut hadir ialah Penghulu Kampung Sindang, Seraai Sajili, Ketua Kaum Sindang Hilir, Padil Hajimi, Ketua Kaum Sindang Hulu, Kassim Drahim serta Pengerusi Komuniti Kampung Sindang, Fazail Nawi.-EDISI UKAS