SUPP Bawang Assan Santuni Empat Sekolah Menengah Sempena Tahun Baharu Cina
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan menyantuni empat sekolah menengah di kawasan Bawang Assan dengan mengagihkan angpau, minuman dan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).
Pengerusinya, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie mengetuai lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawang Assan, SMK Chung Cheng, SM Guong Ming dan SMK Kwong Hua pada Khamis dan Jumaat bagi menyampaikan sumbangan kepada guru serta pelajar.
Dalam lawatan itu, beliau berkata tahun baharu melambangkan satu permulaan yang segar dan menggalakkan pelajar supaya merebut peluang baharu serta berusaha mencapai kemajuan.
“Pelajar perlu berani mengejar impian sebagai matlamat kehidupan dan menjadikan usaha mencapai kebahagiaan sebagai dorongan untuk terus maju.
“Dalam perjalanan menuju kejayaan, mereka perlu memastikan diri sendiri dan orang sekeliling kekal positif dan ceria.
“Pada masa sama, mereka harus memperkukuh azam serta keupayaan menghadapi tekanan agar menjadi lebih matang dan bersedia memikul tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Beliau turut menekankan bahawa pembentukan sahsiah dan daya tahan merupakan elemen penting dalam proses pertumbuhan diri yang akan membentuk pelajar menjadi individu cemerlang.
Menurutnya, apabila melangkah ke alam masyarakat kelak, mereka berupaya menyumbang tenaga dan kebolehan bagi membina Sarawak yang lebih baik.
Dalam pada itu, beliau berkata masyarakat Cina sentiasa menitikberatkan nilai pertemuan semula dan perpaduan, dan walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tahun lalu, tahun baharu membawa sinar harapan serta peluang untuk memulakan lembaran baharu.
Beliau juga menggalakkan pelajar mengekalkan kerjasama erat dengan guru, terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik serta memperoleh keputusan membanggakan demi tidak menghampakan guru dan ibu bapa.-EDISI UKAS