Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi dan inovasi, kejayaan tidak lagi ditentukan semata-mata oleh keputusan peperiksaan. Hari ini, kemahiran, kreativiti, kebolehan menyesuaikan diri dan keberanian mencuba perkara baharu menjadi kunci utama. Menyedari hakikat ini, Sarawak telah melangkah lebih awal melalui penubuhan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS).
Ditubuhkan pada tahun 2012 sebagai sebuah badan amanah kebajikan atau Charitable Trust, TEGAS diwujudkan dengan satu matlamat besar iaitu memperkasa bakat dan komuniti muda Sarawak melalui pembangunan kapasiti serta peluang yang inklusif. Fokusnya jelas, iaitu mempromosikan pendidikan TVET, STEM, inovasi digital dan keusahawanan sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negeri.
Bagi masyarakat awam, TEGAS boleh difahami sebagai sebuah platform yang membuka pintu peluang. Ia menjadi platform penghubung antara pelajar, belia, industri dan kerajaan dalam membina masa depan yang berasaskan kemahiran dan teknologi. TEGAS percaya bahawa setiap anak Sarawak, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat akses kepada ilmu, kemahiran dan ekosistem yang menyokong potensi mereka untuk berkembang.
Antara fungsi utama TEGAS ialah memperluas pendedahan awal kepada bidang TVET dan STEM, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah dan belia. Melalui pendekatan yang praktikal dan interaktif, TEGAS berusaha mengubah persepsi bahawa laluan kemahiran adalah pilihan kedua. Persepsi ini sering bermain diminda pelajar seolah-olah mereka yang gagal dalam pelajaran hanya layak mengambil bidang kemahiran yang dianggap bidang kelas kedua. Sebaliknya, TVET dan STEM ditampilkan sebagai laluan masa depan yang relevan, bernilai tinggi dan berdaya saing. Bidang TVET dan STEM adalah tulang belakang akan menjadi teras kemajuan negeri Sarawak dalam menjadi wilayah termaju di Asia Tenggara.
Bagi menjayakan misi ini, TEGAS menyediakan pelbagai kemudahan dan inisiatif strategik. Salah satunya ialah TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) yang memberi tumpuan kepada peningkatan literasi digital dan kemahiran inovasi melalui program komuniti berimpak tinggi. Inisiatif ini membantu merapatkan jurang digital, terutamanya dalam kalangan pelajar dan belia di kawasan luar bandar . Program ini dimulakan pada 2012 dengan TEGAS JELAJAH SEKOLAH hinggalah pada Program Juh Digital Bootcamp and TEGAS Startup Lab X pada 2023.
Selain itu, TEGAS turut mengendalikan TEGAS Digital Village (TDV) dan TEGAS Digital Innovation Hub (TDIH). Kedua-dua kemudahan ini berfungsi sebagai pusat inovasi dan keusahawanan digital, menyediakan ruang kerja, sokongan teknologi, latihan serta bimbingan kepada usahawan dan pengasas syarikat pemula (startup). Kemudahan di TEGAS Digital Village (TDV) berteras digital seperti auditorium berkapasiti 232 penonton. Ruang Acara atau Event Space yang selesa, Training dan Meeting Room, co-working space desk yang sesuai untuk belia yang terlibat dengan kerjaya nomad digital. Kewujudan TDV adalah selari dengan aspirasi Sarawak untuk membina ekonomi digital yang mampan dan berdaya tahan.
TEGAS juga dikenali melalui pelbagai program berimpak tinggi yang menyentuh terus masyarakat, antaranya Sarawak Career & Training (SCaT) Fair, Project of Dreams Realized (Pro-DR), STEM Playground, Startup Lab, bengkel inovasi, bootcamp keusahawanan dan program bimbingan belia. Program Startup54 Kuching yang berakhir pada 25hb Januari iaitu program 54 jam kolaborasi intensif, pembelajaran dan sesi pembentangan (pitching), dengan enam pasukan menyampaikan pembentangan akhir mereka.
Program selama tiga hari ini menghimpunkan bakal usahawan di TEGAS Digital Village, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), di mana para peserta membangunkan idea syarikat pemula (startup) melalui bimbingan mentor, kerja berpasukan dan sesi praktikal yang bertujuan mempertajam kemahiran perniagaan serta pembentangan mereka. Program-program ini bukan sekadar memberi pendedahan, malah berimpak tinggi untuk membina keyakinan, hala tuju dan jaringan sokongan kepada peserta.
Apa yang membezakan TEGAS ialah pendekatannya yang menyeluruh. Ia tidak hanya menumpukan kepada latihan, tetapi turut membina ekosistem daripada pendidikan awal, pembangunan bakat, sokongan industri sehinggalah kepada pembangunan usahawan dan inovator tempatan. Inilah yang menjadikan TEGAS relevan bukan sahaja kepada pelajar dan belia, malah kepada ibu bapa, pendidik dan komuniti keseluruhannya.
Kesimpulannya, TEGAS bukan sekadar sebuah organisasi, tetapi sebuah pelaburan masa depan untuk Sarawak. Ia membina jambatan antara potensi dan peluang, antara bakat dan realiti. Dalam usaha membina generasi berkemahiran tinggi dan berfikiran inovatif, TEGAS berdiri sebagai antara tonggak utama yang menggerakkan perubahan dan harapan untuk anak Sarawak.