Perpaduan Terus Diperkasa, Komuniti Cina Lingga Disantuni Sempena Tahun Baharu Cina
LINGGA: Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus diperkasa apabila komuniti Cina di Pekan Lingga disantuni menerusi Program Santuni Komuniti sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Batang Lupar.
Program itu menghimpunkan kira-kira 20 penduduk setempat dalam suasana ringkas namun penuh muhibah dan kemesraan.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shahfizan Kepli telah menyumbangkan buah limau serta ang pau Tahun Baharu Cina sebagai tanda ingatan dan sokongan berterusan kepada komuniti Cina di kawasan berkenaan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani yang mewakili beliau kepada wakil komuniti setempat.
Inisiatif seumpama ini bukan sekadar penyampaian sumbangan sempena musim perayaan, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat, selaras dengan aspirasi memastikan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Program ini turut mencerminkan pendekatan inklusif yang diamalkan dalam pentadbiran kawasan Parlimen Batang Lupar, dengan memastikan setiap lapisan masyarakat terus disantuni tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.-EDISI UKAS