41 Masjid & Surau Sibu Terima Sumbangan Ramadan RM205,000
SIBU: Komitmen memperkukuh syiar Islam dan menyantuni institusi keagamaan terus dizahirkan apabila sebanyak 41 buah masjid dan surau sekitar Sibu menerima Sumbangan Khas Ramadan 2026M/1447H berjumlah keseluruhan RM205,000 dalam satu majlis yang berlangsung di ruang legar Masjid An-Nur, Jalan Awang Ramli Amit, pada Jumaat.
Majlis anjuran Pusat Khidmat ADUN Nangka dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap ADUN Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Beliau yang juga Pengerusi LAKIS menyampaikan sumbangan tersebut sejurus selesai solat fardu Jumaat, disaksikan kira-kira 100 hadirin terdiri daripada pengerusi dan wakil masjid serta surau sekitar Sibu.
Setiap masjid dan surau menerima sumbangan sebanyak RM5,000, dengan pecahan RM4,000 daripada Pusat Khidmat ADUN Nangka dan RM1,000 daripada pihak LAKIS.
Menurut beliau, peruntukan tahunan berkenaan bertujuan membantu pihak pengurusan masjid dan surau melaksanakan pelbagai program keagamaan sepanjang bulan Ramadan, termasuk pengisian ibadah dan aktiviti kemasyarakatan.
“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan pihak pengurusan masjid dan surau serta dimanfaatkan sebaiknya bagi menjayakan program Ramadan di kawasan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak serta selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam, sambil menyeru agar bulan mulia ini dimanfaatkan untuk memperkukuh ukhuwah dan amal kebajikan.-EDISI UKAS