ADUN Simanggang Turun Padang Pantau Empat Projek RTP
SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis telah mengadakan lawatan kerja ke empat tapak projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasannya pada Sabtu.
Lawatan pertama beliau adalah ke tapak permohonan projek pembinaan gelanggang badminton di Taman Sri Jaya, yang dimohon secara bersama oleh Jawatankuasan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Kampung Brayun Hulu dan JKKK Taman Sri Jaya, bagi menyediakan kemudahan riadah kepada penduduk setempat.
Beliau kemudian meninjau projek pembinaan benteng hakisan sungai sepanjang 40 meter, di kawasan Sungai Sungai, Sabu yang dijangka siap sepenuhnya penghujung Februari ini.
Seterusnya, Datuk Francis melawat ke tapak projek menaik taraf sistem perparitan sepanjang 60 meter di Taman Kurniawan, Pasir Panas yang dijangka siap pada Mac depan.
Lawatan beliau diakhiri dengan tinjauan ke tapak permohonan projek pembinaan gelanggang bola keranjang, di Pasir Panas yang masih di peringkat reka bentuk.
Datuk Francis ketika ditemui, menyatakan harapannya agar kesemua projek RTP di DUN Simanggang dapat diselesaikan segera demi manfaat penduduk setempat, terutamanya penduduk di kawasan Sungai Suang dan Taman Kurniawan.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar terus diperkasa bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS