MATU: Sebanyak 33 penerima di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menerima cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM163,000 dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung semalam.
Penyerahan cek tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap ADUN Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya.
Antara penerima termasuk jawatankuasa masjid dan surau sebagai persediaan menyambut ketibaan bulan Ramadan serta bagi mengimarahkan bulan mulia itu melalui pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Menurut beliau, peruntukan MRP berkenaan bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan, pengurusan institusi serta keperluan lain yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu penerima membuat persiapan awal bagi menyambut Ramadan serta dimanfaatkan sebaiknya untuk kepentingan masyarakat,” katanya.
Peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan akar umbi dan kesejahteraan komuniti di kawasan DUN Jemoreng.-EDISI UKAS