SARIKEI: Sebanyak 75 batang pokok ditanam di sekitar Tanah Perkuburan Islam Kampung Warisan menerusi Program Gotong-Royong Menanam Pokok anjuran Jabatan Hutan Sarawak (JHS) pada Sabtu, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar di peringkat komuniti.
Kesemua anak pokok tersebut dibekalkan oleh JHS sebagai sokongan terhadap inisiatif kerajaan memperluas litupan hijau negeri selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.
Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Badjuri Bidin menyeru masyarakat setempat agar bersama-sama menjaga dan memelihara pokok-pokok yang ditanam supaya manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan dalam jangka panjang.
“Usaha penghijauan ini bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, malah selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kelestarian alam sekitar serta keterangkuman sosial melalui penglibatan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Len Talif Salleh.
Program tersebut turut disertai Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK), Jawatankuasa Kampung Warisan serta Lembaga Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI), sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti dalam menjayakan pembangunan mampan.
Gotong-royong yang dilaksanakan di bawah inisiatif Greening Sarawak itu merupakan antara pengisian utama Program Penghijauan Malaysia, dengan Sarawak terus muncul antara penyumbang utama di peringkat kebangsaan selepas berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Hadir sama semasa program ialah Pegawai Hutan Wilayah Sarawak, Ali Lee yang mewakili Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) serta Ketua Bahagian Perwartaan dan Konservasi Hutan, Ibu Pejabat JHS, Azahari Omar.-EDISI UKAS