BINTANGOR: Semangat kebersamaan dan keprihatinan terus menjadi teras perjuangan SABERKAS apabila satu lawatan SABERKAS Prihatin diadakan bagi menziarahi Exco SABERKAS Cawangan Meradong yang sedang menjalani rawatan kesihatan di Kampung Melayu Bintangor, pada Sabtu.
Lawatan tersebut diketuai oleh ADUN Meradong merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, sebagai tanda sokongan moral dan solidariti kepada Abang Ibnu Izzwan Azzahari Abg Ahim.
Menurut beliau, lawatan berkenaan bukan sahaja mencerminkan sikap prihatin kepimpinan terhadap ahli dan rakan seperjuangan, malah memperlihatkan semangat kekeluargaan yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan organisasi.
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut meluangkan masa bertanya khabar, menyampaikan kata-kata semangat serta mendoakan agar beliau terus tabah dan kuat menghadapi ujian kesihatan.
SABERKAS Cawangan Meradong turut merakamkan penghargaan atas komitmen serta sumbangan aktif yang telah dicurahkan oleh beliau dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti belia sebelum ini.
Lawatan itu sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim dan memperlihatkan solidariti dalam kalangan kepimpinan serta ahli, selaras dengan nilai kebersamaan dan semangat setiakawan yang menjadi pegangan SABERKAS.-EDISI UKAS