Keselamatan Penduduk Jadi Keutamaan Dalam Isu Hakisan Sungai
SADONG JAYA: Isu hakisan sungai yang semakin kritikal di Jalan Ban Kampung Tanjung Kelaso mendapat perhatian serius Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, yang turun padang meninjau keadaan kawasan terjejas pada Sabtu.
Lawatan yang diadakan pada jam 2 petang itu bertujuan menilai sendiri tahap hakisan serta mendapatkan gambaran jelas mengenai impaknya terhadap infrastruktur dan penduduk setempat.
Ketika ditemui, Awla memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik dan berkesan.
“Langkah jangka pendek akan diambil bagi mengekang hakisan daripada terus merebak, manakala pelan jangka panjang akan dirangka untuk memastikan masalah ini dapat ditangani secara menyeluruh demi keselamatan penduduk,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan segera amat penting bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius sehingga menjejaskan infrastruktur serta kehidupan masyarakat setempat.
Sebagai langkah awal, pemantauan berterusan dan penilaian teknikal akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kawasan paling kritikal untuk tindakan segera.
Dalam masa sama, beliau menyeru kerjasama penduduk kampung agar sentiasa menyalurkan maklumat terkini berkaitan keadaan hakisan serta sebarang kejadian berisiko bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
Pendekatan proaktif serta kerjasama semua pihak dilihat penting dalam memastikan kelestarian tanah pertanian, keselamatan penduduk dan keberkesanan jalan ban sebagai laluan utama ke kawasan pertanian terus terpelihara.-EDISI UKAS