Pendekatan Turun Padang Perkukuh Pembangunan Luar Bandar di Lubok Subong
LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak terus memperkasa agenda pembangunan luar bandar menerusi lawatan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata, kepimpinan berintegriti dan berakauntabiliti dalam kalangan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu terus dijadikan budaya.
Berucap dalam sesi libat urus bersama penduduk di Rumah Edat Intan, Lubok Subong, Lemanak, beliau juga mengingatkan bahawa amanah yang dipikul perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau turut menyentuh status projek Klinik Lubok Antu dan berharap agar projek tersebut dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan demi memastikan penduduk memperoleh kemudahan kesihatan yang lebih baik.
Sebagai tanda komitmen berterusan terhadap pembangunan komuniti luar bandar, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa badan dan kampung di kawasan tersebut termasuk JKKK Lubok Subong, Biro Wanita Lubok Subong, beberapa kampung sekitar Ng Kesit serta PIBG SK Ng Kesit dan Kelab Rekreasi Klinik Nanga Kesit.
Sesi libat urus ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan suara rakyat terus didengar serta keperluan komuniti luar bandar diberi perhatian melalui pendekatan turun padang dan dialog terbuka bersama masyarakat.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau, Ahli-ahli Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) serta KMKK Daerah Lubok Antu.-EDISI UKAS