Stadium Terbuka Song Siap Dinaik Taraf, Perkasa Pembangunan Sukan dan Komuniti
KAPIT: Masyarakat di Kapit khasnya di Daerah Song kini boleh menjalankan aktiviti sukan dan riadah dengan lebih selesa selepas projek naik taraf Stadium Terbuka Song siap sepenuhnya.
Perasmian prasarana tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Sabtu.
Dalam ucapan perasmian, Dato Sri Abdul Karim menzahirkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit dan semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan projek membaik pulih stadium mengikut tempoh ditetapkan.
Beliau menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak menyediakan kemudahan sukan berkualiti di kawasan luar bandar bagi memperkasa pembangunan belia, menggalakkan gaya hidup sihat serta mengukuhkan perpaduan komuniti.
Katanya, stadium yang dinaik taraf ini dijangka menjadi hab aktiviti sukan dan komuniti, selain merancakkan ekonomi setempat melalui penganjuran kejohanan dan program kemasyarakatan.
Difahamkan, prasarana tersebut turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Class 2 Athletics Facility Certificate oleh World Athletics pada 19 Disember 2025.
Menyerikan lagi majlis tersebut dengan perasmian perlawanan bola sepak persahabatan antara RANDO Kapit menentang JKR Kapit yang disempurnakan oleh Dato Sri Abdul Karim.
Projek menaik taraf Stadium Terbuka Song dilaksanakan melalui kerjasama JKR Sarawak dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), sebagai usaha pembangunan sukan serta kesejahteraan masyarakat di Kapit khasnya di Daerah Song.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Tetap MYSED Dzulkornain Masron, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Watson Awan Jalai. - EDISI UKAS