SIBU: Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengubah landskap sosial dan teknologi dunia menuntut masyarakat, termasuk komuniti klan, supaya sentiasa bersedia melakukan perubahan dan terus menimba ilmu agar tidak ketinggalan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, setiap individu mempunyai potensi mencapai kejayaan luar biasa sekiranya disertai usaha serta semangat yang tidak mudah mengalah.
“Kita mesti berusaha merealisasikan impian tersebut. Setiap individu mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan luar biasa sekiranya disertai usaha dan semangat yang tidak mudah mengalah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina (TNC) 2026 Persatuan Klan Zhuang dan Ngieng Sibu di Hotel Kingwood di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, sambutan Tahun Baharu Cina turut menjadi wadah merapatkan hubungan kekeluargaan, menyemai rasa syukur serta menghargai pengorbanan nenek moyang yang merintis kejayaan generasi hari ini.
“Kita tidak harus melupakan sejarah perjuangan nenek moyang. Tanpa pengorbanan mereka, kita tidak mungkin berada pada tahap sekarang,” katanya.
Datuk Michael Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, kekuatan sesebuah komuniti klan bergantung kepada perpaduan tiga generasi iaitu golongan tua, pertengahan dan muda dalam meneruskan legasi warisan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai ahli keluarga menyertai komuniti klan bagi memahami asal-usul keluarga serta melahirkan generasi pelapis yang mampu mengharumkan nama klan.
Beliau turut menyeru masyarakat agar melangkah ke tahun baharu dengan perancangan rapi dan komitmen menyumbang kepada pembangunan komuniti di Sibu dan Sarawak.
Turut hadir Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Pengerusi Persatuan Klan Zhuang dan Ngieng Sibu, Ngieng Hock Teck, serta tetamu lain. - EDISI UKAS