KUCHING: Perbincangan mengenai formula agihan peruntukan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan masih dijalankan dan belum dimuktamadkan, meskipun cadangan daripada Kerajaan Sarawak telah dikemukakan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, formula berkenaan perlu dibincangkan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sabah dan seterusnya akan berbincang dengan Kerajaan Sarawak mengenai perkara itu.
“Persekutuan pun melihat daripada sudut pandang mereka jadi diharapkan dengan perjumpaan tersebut, kita dapat memuktamadkan formula yang terbaik untuk menjaga kepentingan negara dan juga kepentingan apa yang termaktub dalam Perlembagaan di mana Sabah dan Sarawak ada hak istimewa dari segi peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan geran tahunan masjid dan surau kawasan Parlimen Petra Jaya di Masjid Darul Ibadah Kampung Semariang Lama, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Fadillah memberitahu, keputusan akhir berhubung formula itu hanya akan dibuat selepas laporan dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia (MA63) yang dipengerusikannya.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak telah mencadangkan formula pemulangan 20 peratus daripada jumlah hasil atau cukai yang dikutip dari Sarawak bagi memastikan agihan lebih adil dan fleksibel.-EDISI UKAS