BEKENU: Golongan belia disaran tampil sebagai barisan hadapan dalam memperkukuh kestabilan politik serta memacu agenda transformasi Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pembangunan negeri yang mampan tidak akan tercapai tanpa penyertaan generasi muda yang berilmu, berprinsip dan memahami hala tuju kepimpinan negeri.
Menurut beliau, belia bukan sekadar pelapis kepimpinan masa depan, malah merupakan ejen pengukuh agenda pembangunan yang perlu dilengkapkan dengan kemahiran komunikasi, literasi digital serta keupayaan menilai maklumat secara kritis dalam era media sosial yang mencabar.
“Belia mesti menjadi penyampai maklumat yang bertanggungjawab dan mempertahankan fakta, bukannya terperangkap dalam gelombang fitnah atau maklumat separuh benar,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi perkongsian bertajuk “Memperkasa Belia, Memacu Transformasi” sempena Majlis Pelancaran Gerakan Belia N71 Bekenu di Dewan Masyarakat Bekenu, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah menyeru golongan belia agar terus memahami serta mempertahankan hak-hak Sarawak di bawah kerangka Persekutuan, selain menyokong kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menurutnya terbukti membawa kestabilan politik dan kemajuan berterusan kepada negeri.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap ADUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus memperkenalkan struktur organisasi PBB N71 Bekenu yang merangkumi sayap Belia, Pemuda, Wanita dan Induk, serta memaklumkan bahawa golongan belia akan diserapkan ke dalam ranting berhampiran kawasan masing-masing bagi memperkukuh organisasi parti di peringkat akar umbi.
Beliau turut menegaskan kepentingan menambah keahlian dalam kalangan generasi muda sebagai langkah memastikan kesinambungan parti, selaras dengan peranan PBB sebagai parti tonggak dalam GPS bersama parti komponen lain.-EDISI UKAS