SIMANGGANG: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Komuniti Iban di Daerah Sri Aman diingatkan agar sentiasa proaktif dalam persatuan serta menjalankan tanggungjawab dan amanah masing-masing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, Persatuan KMKK Daerah Sri Aman perlu bergerak aktif dalam melaksanakan pelbagai program dengan kerjasama agensi kerajaan demi manfaat penduduk setempat.
“Saya mahu persatuan ini sentiasa 'hidup' dan berfungsi sepenuhnya. Jangan hanya menjadi persatuan 'tidur' tanpa sebarang aktiviti yang memberi kesan kepada komuniti,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Mesyuarat KMKK Daerah Sri Aman Komuniti Iban di sini pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, kepimpinan KMKK harus lebih peka terhadap peluang pembangunan ekonomi, termasuk aktif memohon bantuan dalam sektor pertanian bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan masing-masing.
"Saya menggesa para pemimpin akar umbi untuk sentiasa turun padang bagi memantau keadaan penduduk, terutama dalam menyalurkan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas akibat bencana," jelasnya lagi.
Beliau juga meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan KMKK Komuniti Iban Daerah Sri Aman.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Joshua Martin, Pengerusi Persatuan KMKK Komuniti Iban Daerah Sri Aman, Temenggong Leonard Libau Anol serta barisan Penghulu dan Tuai Rumah dari seluruh Daerah Sri Aman.-EDISI UKAS