Gotong-Royong Perdana Tanah Perkuburan Islam Kampung Sambir Perkasa Ukhuwah Komuniti
ASAJAYA: Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Tanah Perkuburan Islam Kampung Sambir telah berjaya menganjurkan Aktiviti Gotong-Royong Perdana yang menyerlahkan kerjasama antara penduduk setempat dalam memastikan persekitaran tanah perkuburan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kondusif.
Program yang berteraskan prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ ini dilaksanakan bertujuan khusus untuk memastikan kebersihan serta memelihara kesucian kawasan perkuburan sebagai sebuah kawasan yang dihormati oleh seluruh umat Islam di sini.
Pengerusi JKP Tanah Perkuburan Islam Kampung Sambir, Alwi Aman, dalam ucapannya menzahirkan rasa amat terharu melihat kehadiran penduduk yang begitu ramai meskipun program diadakan pada pagi hari Ahad.
Beliau menyifatkan kerjasama yang diberikan sebagai yang terbaik dan luar biasa, di mana setiap penduduk tidak keberatan membawa peralatan sendiri seperti mesin pemotong rumput, parang, dan cangkul demi menjayakan aktiviti pembersihan ini secara sukarela.
"Kehadiran tuan-puan hari ini bukan sekadar untuk membersihkan kawasan, tetapi ia adalah simbolik penghormatan kita kepada mereka yang telah pergi.
“Saya sangat terharu dengan komitmen setiap kampung yang terlibat. Inilah semangat 'Orang Asajaya Kita' yang kita impikan bersatu hati menjaga kepentingan ummah," ujar beliau.
Selain bertujuan untuk mengeratkan ukhwah dalam kalangan masyarakat, objektif utama gotong-royong ini diadakan adalah untuk menetapkan semula arah kiblat pengkebumian yang tepat.
Langkah teknikal ini penting bagi memastikan setiap urusan pengebumian akan datang selaras dengan tuntutan syariat, di samping usaha memperluaskan tapak baharu memandangkan kepadatan kawasan kubur sedia ada yang kini semakin penuh.
Penyertaan luar biasa telah diterima daripada penduduk di pelbagai lokaliti, termasuklah dari Kampung Sebandi Matang, Sebandi Ulu, Sebandi Ulu Lot, Kampung Tambirat Hilir, Tambirat Tengah, Tambirat Ulu, Tambirat Lot, Kampung Moyan Laut Ulu, Moyan Laut Hilir, Moyan Ulu Tradisi, Moyan Ulu Lot, serta Kampung Serpan Ulu.
Kehadiran penduduk dari keseluruhan zon ini membuktikan bahawa nilai kemasyarakatan dan semangat kejiranan masih menebal dalam kalangan warga Asajaya.
Selain aspek fizikal, program ini juga menjadi medan untuk memperkukuhkan hubungan antara Jawatankuasa Pengurusan dengan penduduk, bagi memastikan sebarang isu berkaitan penyelenggaraan tanah perkuburan dapat diatasi bersama secara harmoni. -EDISI UKAS