PBB Bekenu Perkasa Peranan Belia Dalam Organisasi Parti
BEKENU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu terus memperkasa peranan golongan belia dalam organisasi parti bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta pengukuhan gerak kerja di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak merangkap Ketua Cawangan PBB Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata, langkah tersebut termasuk menyerapkan belia ke dalam ranting-ranting berhampiran kawasan tempat tinggal masing-masing bagi memperkukuh organisasi di peringkat akar umbi.
“Golongan belia akan diserapkan ke dalam ranting-ranting yang berhampiran dengan kawasan tempat tinggal masing-masing bagi memperkukuh organisasi parti di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran Gerakan Belia N71 Bekenu di Dewan Masyarakat Bekenu, pada Sabtu.
Datuk Rosey menambah, golongan belia turut diamanahkan untuk menambah keahlian dalam kalangan generasi muda bagi memperkukuh barisan parti.
Dalam pada itu, beliau menegaskan PBB merupakan parti tonggak dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bersama-sama membentuk kerajaan negeri dengan kerjasama parti komponen seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu turut menekankan kepentingan memperkasa belia dalam dunia digital dengan memahirkan diri dari segi pemikiran, kematangan serta kebijaksanaan menilai maklumat.
Beliau turut menyeru golongan belia memainkan peranan penting mempertahankan Sarawak daripada sebarang serangan dan penyebaran fitnah di media sosial.
Dalam program berkenaan, turut berlangsung sesi perkongsian bersama belia yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, dengan tajuk Memperkasa Belia, Memacu Transformasi.
Majlis tersebut menyaksikan penyertaan aktif golongan belia dari sekitar kawasan Bekenu serta pemimpin dan ahli parti yang hadir bagi menyokong usaha memperkukuh peranan belia dalam pembangunan negeri dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS