Perkukuh Perpaduan dan Bekerjasama Pacu Pembangunan Sarawak Sempena Tahun Baharu Cina 2026
MIRI: Rakyat Sarawak diseru agar terus memperkukuh perpaduan dan bekerjasama memacu pembangunan negeri sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, perayaan tersebut bukan sahaja membawa makna penyatuan keluarga, kesyukuran dan harapan baharu, malah mencerminkan semangat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menurut beliau, Sarawak amat bertuah kerana rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama saling menghormati serta bersama-sama meraikan pelbagai perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai Dayak, Deepavali dan Krismas.
“Keunikan inilah yang menjadi kekuatan Sarawak dan perlu terus dipelihara daripada sebarang pengaruh ekstremisme,” katanya dalam perutusan perutusan Tahun Baharu Cina 2026 di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Lee turut menegaskan, tahun 2026 amat istimewa kerana perayaan utama diraikan secara berturutan pada separuh pertama tahun ini, sekali gus menggambarkan keharmonian sebenar masyarakat majmuk di negeri ini.
Menyentuh pembangunan negeri, beliau berkata di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg terus mencatat kemajuan yang stabil dari segi politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, kedudukan kewangan negeri yang kukuh membolehkan pelbagai dasar kebajikan serta inisiatif pembangunan jangka panjang dilaksanakan secara mampan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu kuga mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya khususnya ketika pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan.
“Rancang perjalanan lebih awal, elakkan memandu secara berbahaya dan jangan menggunakan telefon ketika memandu. Keselamatan keluarga adalah yang paling utama,” katanya.-EDISI UKAS