Amalan Integriti Konsisten Perkukuh Keyakinan Rakyat
KAPIT: Amalan integriti yang konsisten mampu mengekang rasuah, penyelewengan dan pecah amanah, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Penegasan itu menjadi teras penganjuran Program Jelajah Integriti Sarawak Siri 44 di Rh. Bena, Nanga Sema, Sungai Yong yang memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri memperkukuh budaya tadbir urus baik hingga ke kawasan pedalaman selaras agenda “Sarawak Berintegriti Tinggi 2030”.
Program anjuran Pejabat Residen Bahagian Kapit itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya.
Dalam ucapannya, Datuk Dr Juanda menegaskan bahawa integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemah melalui tindakan dan amalan seharian, khususnya dalam kalangan pemimpin akar umbi yang menjadi penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.
Menurut beliau, budaya kerja berteraskan integriti berupaya membentuk sistem pentadbiran yang telus dan berakauntabiliti, sekali gus memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap dasar serta pelaksanaan projek kerajaaan.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, menegaskan bahawa kepimpinan Sarawak komited menjunjung prinsip akauntabiliti dan ketelusan termasuk melalui pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan pengukuhan peranan Ombudsman.
Beliau turut mengingatkan bahawa rasuah merupakan ancaman serius yang boleh menjejaskan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, justeru usaha penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu disokong sepenuhnya menerusi teks ucapan yang dibacakan Datuk Jefferson Jamit.
Untuk rekod, sejak 2019 hingga 2025, sebanyak 43 siri jelajah telah dilaksanakan di seluruh Sarawak, manakala 10 lagi siri dirancang pada 2026 dengan tumpuan kepada kawasan yang belum pernah dikunjungi mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memastikan budaya integriti terus subur dan diyakini rakyat di setiap lapisan masyarakat. -EDISI UKAS