KUCHING: Rakyat Sarawak diseru semarakkan perpaduan dan kerjasama sebagai satu pasukan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kekuatan Sarawak terletak pada keutuhan perpaduan masyarakatnya yang hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
Menurut beliau, keadaan itu boleh diibaratkan seperti hidangan ‘yee sang’ yang melambangkan kemakmuran melalui gabungan pelbagai ramuan, sekali gus mencerminkan keharmonian rakyat di negeri ini.
“Marilah kita terus bekerja sebagai satu pasukan bersatu hati memelihara warisan budaya yang menjadi aset kebanggaan kita.
“Gunakan peluang musim perayaan ini untuk mengukuhkan silaturahim melalui tradisi kunjung-mengunjung dan menyemai semangat muhibah,” katanya dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu Cina 2026.
Beliau turut menyeru agar Tahun Kuda dijadikan momentum untuk memperbaharui azam dan melangkah dengan penuh keyakinan ke arah Sarawak yang lebih makmur dan sejahtera.
Tambahnya, dengan iltizam yang tinggi, penjawat awam mampu memantapkan pelaksanaan mandat demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
Dalam pada itu, beliau bagi pihak keluarga serta seluruh warga perkhidmatan awam Sarawak mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada masyarakat Cina di negeri ini, khususnya penjawat awam yang meraikannya.
“Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le. Semoga tahun ini membawa kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kejayaan yang berterusan kepada kita semua,” katanya.-EDISI UKAS