KMKK barisan hadapan lindungi keharmonian, perpaduan masyarakat
BETING MARO: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) merupakan barisan hadapan kerajaan yang memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan, keharmonian serta perpaduan masyarakat kampung sentiasa terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor, berkata KMKK memikul tanggungjawab besar dalam merancang dan melaksanakan pelbagai program pembangunan agar rakyat terus bersatu padu serta saling menghormati antara satu sama lain.
Beliau turut mengingatkan KMKK agar sentiasa peka terhadap isu dan permasalahan penduduk setempat, selain menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan kampung bekerjasama serta menjadi mata dan telinga kerajaan supaya setiap isu dapat ditangani secara berkesan dan menyeluruh.
Dato Razaili berkata demikian semasa sesi Perjumpaan KMKK DUN N.29 Beting Maro yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat N.29 Beting Maro di Dewan Al Amin Beladin, Pusa, pada Ahad.
Program itu turut dihadiri para penghulu zon serta ketua kampung dalam kawasan DUN berkenaan, sekali gus menjadi platform memperkukuh penyelarasan pentadbiran dan penyampaian dasar di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan JKKK serta komuniti setempat agar menceburi sektor pertanian sebagai langkah memperkukuh ekonomi kampung.
Menurutnya, industri asas tani mempunyai potensi besar dalam meningkatkan pendapatan keluarga sekiranya sumber sedia ada dimanfaatkan secara bijak dan terancang, khususnya di kawasan yang kaya dengan sumber alam seperti Beting Maro.
Tambah beliau, penghasilan produk tambah nilai berasaskan pertanian bukan sahaja mampu memperkasa ekonomi tempatan, malah berupaya melahirkan lebih ramai usahawan desa yang berdaya saing.
Pada masa sama, beliau menyeru agar rakyat terus memberi sokongan kepada kepimpinan Premier Sarawak demi memastikan kesinambungan pembangunan luar bandar agar setanding dengan kawasan bandar.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan kemudahan asas serta merangka pelbagai inisiatif demi kesejahteraan rakyat.
Sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, beliau turut memaklumkan bahawa program Ziarah Kasih akan diadakan bagi menziarahi golongan memerlukan serta menyampaikan bakul makanan sebagai usaha meringankan beban mereka. - EDISI UKAS