KUCHING: Industri kek lapis Sarawak melakar satu lagi pencapaian penting apabila Mira Cake House memperkenalkan transformasi pembuatan berteknologi tinggi yang berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Transformasi tersebut dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, dalam satu majlis di Kedai Mira Cake House, Metrocity, pada Ahad.
Inisiatif berkenaan menyaksikan penggunaan mesin automasi yang mampu menghasilkan sehingga 18 acuan kek lapis dalam tempoh kira-kira 90 minit berbanding kaedah manual yang hanya mampu menyiapkan enam acuan dalam tempoh antara satu jam setengah hingga dua jam.
Dato Sri Fatimah berkata, sehingga kini pengusaha kecil masih berdepan cabaran dari segi pengeluaran.
“Dari sudut kualiti, saya melihat ia semakin baik, namun aspek kuantiti masih menjadi kekangan khususnya untuk menghasilkan dalam jumlah yang besar.
“Dengan penggunaan mesin ini, penghasilan kek lapis mampu ditingkatkan sehingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini.
"Secara tidak langsung, ia dapat membantu memenuhi permintaan yang tinggi terutama pada musim puncak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah transformasi tersebut selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan keperluan perusahaan tempatan beralih kepada model perniagaan berpacukan teknologi, data dan inovasi bernilai tinggi.
Menurutnya, sektor pembuatan Sarawak perlu bergerak ke arah pengeluaran berskala besar, mempunyai nilai tambah serta berorientasikan eksport bagi memastikan produk tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran yang lebih luas.
Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan sesi demonstrasi mesin pembuatan kek lapis, tayangan montaj korporat serta gimik simbolik perasmian sebagai tanda bermulanya era baharu pengeluaran kek lapis secara moden dan sistematik.
Dengan transformasi ini, Mira Cake House memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri kek lapis Sarawak serta membuktikan produk warisan mampu dimodenkan tanpa menjejaskan identiti tradisi.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal, Pengasas Mira Cake House, Musa Bidin bersama isteri, Masah Sahani, Ketua Dewanita DUBS Pusat, Juita Drap serta Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak, Rabiah Amit.- EDISI UKAS