Kerjasama Strategik UKAS–PPS Perkukuh Advokasi Kepenggunaan Di Sarawak
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerima kunjungan hormat delegasi Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) di Ibu Pejabat UKAS, di sini pada Isnin.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, menyambut delegasi PPS yang diketuai Presidennya, Dr. Wynson Ong dalam pertemuan yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik demi kepentingan dan perlindungan pengguna di negeri ini.
Dalam sesi perbincangan tersebut, Dr. Wynson memperkenalkan latar belakang penubuhan PPS selain menjelaskan misi, visi serta fungsi utamanya dalam melindungi hak dan kepentingan pengguna.
Menurut beliau, antara peranan penting PPS adalah menyediakan khidmat nasihat, mendidik masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna serta bertindak sebagai saluran komunikasi antara pengguna dan pihak berkuasa.
Beliau turut membentangkan beberapa cadangan penambahbaikan termasuk memperluas program kesedaran, penganjuran seminar pendidikan serta pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Selain itu, pertemuan berkenaan menjadi platform mencadangkan bentuk kerjasama strategik bersama UKAS termasuk penggunaan talikhidmat UKAS sebagai saluran rasmi bagi penyaluran aduan atau isu berkaitan kepenggunaan.
Kedua-dua pihak berharap pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak program kolaboratif yang dapat memperkukuh kesedaran kepenggunaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat yang celik pengguna dan berdaya saing.
Turut hadir Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah serta barisan pegawai kanan UKAS. -EDISI UKAS