Transformasi Industri Getah Diperkasa Demi Kelangsungan Pekebun Kecil
LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus memperhebat usaha pemerkasaan dan transformasi industri getah bagi menjamin kelangsungan pekebun kecil di Limbang dan Lawas dengan memastikan sektor yang menjadi sumber rezeki utama masyarakat luar bandar itu dimodenkan dan dibangunkan secara mampan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Program Transformasi Industri Getah Sarawak dilaksanakan secara menyeluruh untuk meningkatkan produktiviti melalui pemindahan teknologi, amalan pertanian baik dan sokongan lebih berkesan kepada komuniti setempat.
“Aspirasi Sarawak Rubber Industry Board (SARIB) untuk memastikan industri getah mampu mengatasi industri sawit akan dicapai melalui kerjasama erat bersama RISDA dan Jabatan Pertanian Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Industri Getah Sarawak Bahagian Limbang pada Isnin.
Terdahulu ketika berucap, beliau menjelaskan, kerajaan negeri menyedari pekebun kecil berhadapan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan harga pasaran, peningkatan kos input, isu tenaga kerja serta kebun getah yang semakin berusia.
Sehubungan itu, menurutnya, program transformasi yang dilaksanakan memberi fokus kepada peningkatan hasil, pengurusan kebun secara sistematik dan peluasan akses pasaran.
“Kita mahu memastikan getah yang ditanam dapat ditoreh dan dijual secara sistematik supaya pekebun menerima pulangan yang adil dan stabil,” tambahnya.
Menurut beliau, SARIB turut dipertanggungjawabkan untuk memantau urus niaga serta memperkasa pelaksanaan pensijilan mampan bagi meningkatkan daya saing getah Sarawak di pasaran lebih luas.
Beliau menegaskan kejayaan transformasi industri getah memerlukan komitmen berterusan semua pihak agar tiada komuniti luar bandar tercicir dalam arus pembangunan negeri.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sarawak Make Jiwan, Timbalan Residen Limbang Marie Cotilla Louise, Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Amirul Fikri Jemali, Timbalan Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah Mohd Redzuan Awang dan Wakil Ketua Polis Daerah Limbang Beruin Christopher.-EDISI UKAS