Kawasan Perumahan Di Kpg Tanjong Bundong Perlukan Tangki Aras Tinggi, Tapak Strategik Sudah Dikenal Pasti
KOTA SAMARAHAN: Keperluan pembinaan tangki aras tinggi di kawasan perumahan di Kampung Tanjong Bundong dilihat semakin mendesak mengambil kira jumlah keseluruhan rumah bagi Fasa 1 hingga Fasa 4 kini mencecah 834 unit.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata tapak pembinaan telah dikenal pasti dan lokasi baharu itu dipilih kerana lebih strategik berbanding tapak lama tangki aras tinggi MID di kawasan perindustrian yang didapati agak jauh dari kawasan perumahan.
“Kita telah mengenal pasti dua lokasi dan jurutera kita berpendapat bahawa tapak di tengah-tengah kawasan ini adalah lebih strategik untuk pembinaan tangki aras tinggi.
“Jumlah keseluruhan rumah bagi Fasa 1 hingga Fasa 4 adalah sebanyak 834 buah, manakala Fasa 4 sahaja melibatkan 337 rumah dengan 32 unit telah siap.
“Ini bermakna tangki aras tinggi memang diperlukan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan kerja di Kampung Tanjong Bundong pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau telah meminta Sarawak Water menjalankan kajian terperinci mengenai keperluan pembinaan tangki tersebut, termasuk soal pembiayaan sama ada ditanggung oleh Sarawak Water atau pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) memandangkan kawasan itu dibangunkan oleh agensi berkenaan.
Menurutnya, kelulusan tapak oleh pihak JTS perlu dipercepatkan agar projek dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
“Kalau lulus, kita minta supaya dibuat dengan segera seperti di Kampung Sungai Mata. Apabila pengguna memerlukan kemudahan air dan elektrik, kalau boleh disiapkan segera, why not? Kita segerakan pembinaannya.
“Air adalah keperluan asas. Jurutera kita telah pun masuk ke kawasan ini, cuma yang diperlukan ialah pembinaan tangki aras tinggi,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerja pemasangan paip baharu dari Kampung Tanjong Bundong Tradisi telah ditender selepas peruntukan diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.
Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi tempoh lima tahun untuk pelaksanaan projek bekalan air di seluruh Sarawak, termasuk RM214 juta bagi tahun ini sahaja.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak Water dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) perlu melaksanakan penggantian paip lama yang uzur serta menaik taraf sistem paip dengan kadar segera demi memastikan bekalan air lebih stabil dan tekanan air lebih baik.
“Ini adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan cepat. Kita akan memantau dari semasa ke semasa supaya pelaksanaannya berjalan lancar dan tidak ditangguhkan,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Speaker DUN Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang serta tetamu lain.-EDISI UKAS