UNIMAS Raih Pengiktirafan “Standard Emas” Pengurusan Data Universiti
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah memperolehi pengiktirafan “standard emas” apabila meraih penarafan lima bintang dengan markah penuh 100 peratus dalam penilaian Sistem Pengumpulan Data Universiti Awam (MyMoheS) bagi data berakhir 31 Disember 2025.
Pengumuman pencapaian itu dibuat semasa Mesyuarat Kualiti Data Bil. 1/2026 yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka baru-baru ini.
Pencapaian tersebut membuktikan UNIMAS mempunyai sistem tadbir urus dan pengurusan data yang cekap, sekali gus meningkatkan kredibiliti universiti di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai institusi yang mempunyai integriti data yang tinggi.
Imej positif ini secara langsung membantu menarik lebih banyak rakan kolaborasi serta bakal pelajar, membuktikan bahawa UNIMAS adalah sebuah institusi yang dipacu oleh kecemerlangan tadbir urus yang diiktiraf.
Dengan pengurusan asas data yang mantap, ia akan membantu UNIMAS untuk merancang keperluan masa depan, memastikan universiti kekal relevan dan berdaya saing bagi tempoh dekad yang akan datang.
Pencapaian ini merupakan testimonial kepada budaya kerja cemerlang di UNIMAS, telah bersedia sepenuhnya untuk mendepani cabaran transformasi digital melalui pengurusan data yang cemerlang.
MyMoheS diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) bagi menilai tahap kesiapsiagaan institusi pengajian tinggi dalam aspek sistem penyaluran maklumat serta pengurusan dan penyimpanan data berkaitan pelajar, staf, penyelidikan dan institusi.
Penilaian dibuat berdasarkan ketepatan masa penghantaran data, kelengkapan maklumat dan kualiti data yang disimpan dalam sistem universiti.-EDISI UKAS