Penduduk Kampung Sungai Mata Kembali Nikmati Bekalan Air Bersih
KOTA SAMARAHAN: Penduduk di 315 buah rumah di Kampung Sungai Mata kini kembali menikmati sumber bekalan air bersih dan terawat secara lebih stabil susulan pemasangan dua tangki air berkapasiti keseluruhan 38,000 liter sehari yang telah mula beroperasi sepenuhnya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, setiap tangki berkapasiti 19,000 liter dan dikhususkan sepenuhnya untuk kegunaan penduduk Kampung Sungai Mata sebagai penyelesaian jangka panjang kepada isu bekalan air yang dihadapi sebelum ini.
“Maka hari ini kita dapat menyaksikan dua tangki air yang dihantar ke Kampung Sungai Mata. Setiap tangki mempunyai kapasiti 19,000 liter, menjadikan jumlah keseluruhan 38,000 liter sehari khusus untuk 315 buah rumah di kampung ini.
“Saya difahamkan sistem ini telah pun beroperasi dan ia menjadi projek perintis atau ‘testbed’ untuk kita menyelesaikan masalah bekalan air bersih dan air terawat di kampung-kampung terpencil serta rumah panjang tertentu yang memerlukan bekalan harian,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan kerja ke Kampung Sungai Mata pada Isnin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Speaker DUN Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang atas inisiatif terdahulu dalam membantu membekalkan air bersih kepada penduduk sementara menunggu sistem tetap dilaksanakan.
Menurut beliau, sistem tersebut diharap dapat menjadi sumber air terawat yang berkekalan kepada penduduk, selain meminta Sarawak Water memantau operasi secara berterusan bagi memastikan tiada lagi aduan daripada penghulu atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Bahagian Samarahan sebenarnya tidak berdepan masalah kekurangan air, sebaliknya menerima bekalan air terawat daripada Loji Rawatan Air Batu Kitang yang merupakan loji utama berhampiran Kuching.
“Loji Rawatan Air Batu Kitang mempunyai kapasiti 868 juta liter sehari dan kini sedang dinaik taraf kepada 968 juta liter sehari.
“Kita juga telah meningkatkan bekalan ke Samarahan daripada 23 juta liter sehari kepada 47 juta liter sehari melalui rangkaian paip di Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan.
“Ini bermakna bekalan air adalah mencukupi dan tekanan air juga adalah kuat,” jelasnya.
Jelasnya lagi, kerajaan turut mengenal pasti sumber air mentah baharu di Sebuyau untuk pembinaan loji rawatan air sebagai sokongan kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang dan Loji Rawatan Air Selabi di Serian.
Tambah beliau, sebuah loji berkapasiti 20 juta liter sehari di Lundu telah mula dilaksanakan, manakala pembinaan sistem grid sedang giat dijalankan bagi menghubungkan keseluruhan rangkaian bekalan air di Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, Datuk Rubiah, Dato Idris serta tetamu lain.-EDISI UKAS