Pesta Pulau Bruit & Mini Agrofest Perkukuh Ekonomi Komuniti
DARO: Penganjuran Pesta Pulau Bruit dan Mini Agrofest terus membuktikan peranannya sebagai platform strategik memperkasa ekonomi komuniti setempat, sekali gus menyemarakkan potensi pelancongan di Pulau Bruit dan Daerah Daro secara menyeluruh.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, penganjuran pesta tahunan itu bukan sekadar mengetengahkan identiti serta warisan masyarakat, malah membuka ruang kepada usahawan kecil dan penggiat industri agro mempromosikan produk tempatan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu, kejayaan penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen dan kerjasama erat antara jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan serta masyarakat setempat dalam memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berimpak.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penghargaan Jawatankuasa Pengelola Pesta Pulau Bruit dan Mini Agrofest 2025 yang berlangsung di Rumah Rehat Kerajaan Daerah Daro, pada Isnin.
Majlis anjuran Pusat Khidmat ADUN N.42 Semop bersama Majlis KMKK Pulau Bruit itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan pesta berkenaan.
Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan kepada seorang Penghulu baharu serta 14 Ketua Kaum lanjutan bagi kawasan Pulau Bruit sebagai langkah memperkukuh struktur kepimpinan akar umbi dan mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pada majlis sama, Datuk Abdullah turut menyampaikan cenderahati kepada para tetamu sebagai simbol penghargaan atas sumbangan dan dedikasi mereka.
Turut hadir Pegawai Daerah Daro, Zul Usup, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Kaum serta Ketua Masyarakat Pulau Bruit. –EDISI UKAS