Sarawak Terus Kukuh di Landasan Mampan, Tahun Kuda Simbol Daya Tahan & Momentum Ke Hadapan
KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah di landasan pembangunan mampan dengan azam yang diperbaharui sempena Tahun Kuda yang disifatkan sebagai simbol daya tahan, kekuatan dan momentum ke hadapan dalam memperkukuh ekonomi, memelihara perpaduan serta menjamin kesejahteraan rakyat secara inklusif.
Seruan tersebut dizahirkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan yang menegaskan bahawa semangat Tahun Kuda harus diterjemahkan melalui usaha berterusan, pemikiran progresif dan tindakan berani bagi memastikan Sarawak kekal kompetitif serta berdaya tahan dalam mendepani cabaran global.
Dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu Cina 2026, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak kekal komited dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan mampan, dengan memberi penekanan kepada peluasan peluang ekonomi, pemerkasaan komuniti serta peningkatan kesejahteraan sosial untuk semua lapisan masyarakat.
“Dengan kerjasama yang erat dan perkongsian visi yang jelas, saya yakin kita mampu mengatasi segala cabaran serta membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini sebagai teras kekuatan Sarawak, sambil menegaskan bahawa kestabilan serta pertumbuhan berterusan yang dinikmati hari ini perlu sentiasa dipelihara dan dipertahankan.
Katanya, perpaduan dalam kepelbagaian itu amat terserlah ketika musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, apabila amalan rumah terbuka menjadi platform menyemai rasa hormat, persefahaman serta semangat muhibah antara komuniti.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya, dengan harapan agar tahun yang mendatang membawa kesihatan yang baik, kebahagiaan serta kejayaan berterusan, selain menyemai optimisme baharu, kekuatan yang lebih utuh dan perpaduan yang semakin kukuh dalam kalangan rakyat Sarawak.-EDISI UKAS