TYT Sarawak Doakan Tahun Kuda Bawa Keberkatan & Khabar Gembira
KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak 2026 berlangsung dalam suasana penuh muhibah apabila Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menzahirkan harapan agar Tahun Kuda membawa limpahan keberkatan, kemakmuran dan khabar gembira buat seluruh rakyat negeri ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum beliau serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi beredar meninggalkan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Selasa.
“Selamat Tahun Baharu, Selamat Tahun Baharu. Gong Xi Fa Cai, kita berdoa agar Tahun Kuda membawa khabar gembira dan kebaikan kepada kita,” katanya ringkas.
Terdahulu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah telah meluangkan masa lebih sejam bersama barisan Kabinet Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan serta tetamu yang hadir.
Dalam majlis berkenaan, beliau dan isteri bersama dif-dif kenamaan lain turut menyempurnakan upacara menggaul Yee Sang sebagai simbol tuah, kemakmuran dan limpahan rezeki.
Majlis anjuran Kerajaan Sarawak itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Cina termasuk tarian singa dan naga, persembahan orkestra, serta nyanyian pelbagai bahasa yang menggambarkan keunikan warisan budaya sebagai kekuatan negeri dan negara.
Sambutan peringkat negeri itu merupakan acara tahunan yang mencerminkan nilai perkongsian, kebersamaan serta saling menghargai, sekali gus memperkukuh keharmonian sosial unik di Bumi Kenyalang.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof bersama isteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Timbalan- Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah bersama isteri Datin Amar Doreen Mayang dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian bersama isteri Datin Amar Enn Ong Siok Ean, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri Datin Amar Baduyah Bujang, serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang & George S. Embie