BINTULU: Tourism Malaysia terus mempergiat usaha mempromosikan sektor pelancongan dan kebudayaan negara menerusi penganjuran Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Lapangan Terbang Bintulu pada Selasa.
Program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 petang itu bukan sekadar meraikan perayaan, malah menjadi platform strategik memperkukuh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan menonjolkan keunikan warisan budaya Malaysia kepada pelawat yang tiba di bahagian ini.
Ketibaan pelawat dari dalam dan luar negara disambut dalam suasana penuh warna-warni, mencerminkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, harmoni dan kaya dengan kepelbagaian budaya.
Majlis dimulakan dengan acara simbolik Yee Sang yang melambangkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan, selari dengan aspirasi VM2026 untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta komuniti pelancong.
Persembahan tarian singa di balai ketibaan turut menjadi tarikan utama, sekali gus memperkenalkan elemen seni dan tradisi masyarakat Tionghua kepada pelawat yang baharu tiba.
Selain itu, pameran pakaian tradisional Malaysia yang diadakan memberi peluang kepada pengunjung mengenali kepelbagaian busana etnik di negara ini, sekali gus memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya.
Maskot rasmi Visit Malaysia 2026, Wira dan Manja, turut menceriakan suasana dengan penampilan istimewa bertemakan perayaan, sekali gus menjadi daya tarikan interaktif untuk sesi fotografi bersama pelawat.
Ketibaan beberapa penerbangan dari Kuala Lumpur dan Kuching pada sebelah pagi diraikan dengan sambutan penuh meriah, menggambarkan komitmen berterusan dalam mempertingkat pengalaman ketibaan pelancong di Bintulu.
Penganjuran program seumpama ini membuktikan kesungguhan Tourism Malaysia dalam memperkasakan pelancongan berasaskan budaya serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama menjelang VM2026.- EDISI UKAS