Gotong-Royong Perdana Bersih Masjid Al-Ansari Semarak Semangat Ramadan di Kampung Kelka
SIMUNJAN: Gotong-Royong Perdana membersihkan Masjid Al-Ansari Kampung Kelka pada Selasa, menjadi platform menyemarakkan semangat Ramadan yang bakal tiba serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan komuniti.
Program Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kelka Hilir bersama Jawatankuasa Pengurusan masjid itu turut mendapat sokongan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Seawal pagi, peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa, ahli kariah, anggota bomba serta golongan belia berganding bahu menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk menyapu, mengemop lantai, membersihkan ruang solat, tingkap serta kawasan halaman masjid.
Pengerusi JKKK Kampung Kelka Hilir, Mat Sidi Hossin berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha bersama komuniti kampung bagi memastikan rumah ibadah itu berada dalam keadaan bersih, ceria dan selesa untuk digunakan sepanjang bulan Ramadan.
“Program seumpama ini menjadi antara pendekatan terbaik dalam menyatukan penduduk kampung tanpa mengira peringkat usia, sekali gus memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama terhadap kemudahan awam,” katanya.
Menurut beliau yang juga Ketua Kaum Kampung Kelka Hilir, pihak JKKK bercadang menjadikan program gotong-royong bersama pengurusan masjid sebagai acara tahunan, khususnya menjelang Ramadan, agar budaya menjaga kebersihan dan semangat muafakat terus diperkasa dalam komuniti Kampung Kelka Hilir.
Usaha berterusan seperti ini jelas mencerminkan komitmen masyarakat Kampung Kelka Hilir dengan sokongan agensi kerajaan dalam memelihara kebersihan serta memakmurkan institusi masjid sebagai pusat ibadah dan aktiviti kemasyarakatan, khususnya sepanjang bulan Ramadan nanti.-EDISI UKAS