Gotong-Royong Perkukuh Semangat Kariah, Persiap Masjid Sambut Ramadan
KOTA SAMARAHAN: Program Jom Gotong-Royong yang diadakan di Masjid Darul Ikhlas Kampung Sindang pada Selasa berjaya menghimpunkan penduduk setempat dalam usaha memperkukuh kebersamaan komuniti menjelang ketibaan bulan Ramadan.
Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu diadakan sebagai persediaan awal bagi memastikan persekitaran masjid berada dalam keadaan bersih, selesa dan kondusif untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan mulia berkenaan.
Penduduk kampung bersama ahli jawatankuasa masjid berganding bahu melaksanakan kerja pembersihan di dalam dan luar kawasan masjid termasuk menyusun semula ruang solat, membersihkan persekitaran serta menjalankan kerja penyelenggaraan ringan.
Selain memperindah rumah ibadah, aktiviti tersebut turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat sekitar Kota Samarahan.
Penganjuran program seumpama itu selari dengan penghayatan nilai kebersihan, perpaduan ummah serta semangat kerjasama yang dituntut sepanjang Ramadan.
Sepanjang bulan berkenaan, pihak masjid merancang pelbagai pengisian kerohanian termasuk solat tarawih berjemaah, tadarus Al-Quran, majlis berbuka puasa serta program kebajikan kepada masyarakat.-EDISI UKAS