VM2026 Perkasa Promosi Pelancongan Menerusi Sambutan Perayaan di Pintu Masuk Negara
KUCHING: Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) terus diperkasa apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) meraikan ketibaan pelancong dengan sambutan istimewa sempena Tahun Baharu Cina, sekali gus menyemarakkan promosi pelancongan negara di pintu masuk utama Sarawak.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) memeriahkan musim perayaan Tahun Baharu Cina dengan sambutan khas bagi menyantuni pelawat, selaras dengan misi memperkukuh promosi VM2026.
Program anjuran Tourism Malaysia itu menampilkan kelainan apabila tetamu kenamaan turun padang menyambut pelancong di hadapan pintu ketibaan serta menghulurkan ‘goodies bag’ sebagai tanda alu-aluan kepada pengunjung yang tiba pada Selasa.
Hadir memeriahkan sambutan ialah Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Mohamad Anuardi Hajani, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredrick, wakil Malaysia Airports Holdings Berhad serta penggiat industri pelancongan termasuk syarikat penerbangan Batik Air, AirAsia dan Malaysia Aviation Group serta wakil Sarawak Tourism Board, Sarawak Tourism Federation serta Persatuan Homestay Sarawak.
Sambutan diserikan dengan upacara simbolik menggaul Yee Sang yang melambangkan perpaduan dan keharmonian, serta persembahan tarian singa yang sinonim dengan perayaan Tahun Baharu Cina.
Menambah tarikan, pelancong turut berpeluang merasai pengalaman mencanting batik anjuran Kraftangan Sarawak sekali gus mempromosikan keunikan seni warisan tempatan kepada pengunjung luar negara.
Maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja, turut tampil dengan busana bertemakan perayaan serta berinteraksi secara mesra menerusi sesi bergambar, sekali gus memperkaya pengalaman ketibaan pelawat.
Sambutan di pintu masuk antarabangsa itu merupakan antara langkah strategik di bawah kempen VM2026 dalam usaha memperkaya pengalaman ketibaan pelawat, memperkukuh penjenamaan destinasi serta memperlihatkan Malaysia sebagai negara yang selamat dan kaya dengan kepelbagaian budaya sepanjang tahun.
Inisiatif berkenaan juga dijangka memberi impak positif kepada pelawat sekali gus merangsang kunjungan berulang ke negara ini. –EDISI UKAS