SIBU: Sambutan Tahun Baharu Cina sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) diraikan penuh warna-warni di beberapa pintu masuk utama negara hari ini sebagai usaha memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan serantau.
Di Sarawak, Lapangan Terbang Sibu menjadi antara lokasi utama penganjuran program melibatkan kerjasama Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Ketibaan penumpang antarabangsa serta domestik diserikan dengan paluan gendang dan persembahan tarian singa yang menampilkan keunikan budaya masyarakat majmuk negara ini.
Suasana di balai ketibaan turut diperkasakan dengan kemunculan maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja, yang berinteraksi mesra bersama para pelawat, sekali gus mencipta pengalaman ketibaan yang lebih ceria dan bermakna.
Penerbangan dari Kuala Lumpur yang tiba pada jam 11.40 pagi disambut oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting, wakil Residen Bahagian Sibu, Safidi Tumboh serta wakil Tourism Malaysia, Agnes Felicia.
Sambutan seumpama itu turut berlangsung serentak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Bintulu dan Lapangan Terbang Miri sebagai simbolik sokongan padu terhadap pelaksanaan kempen VM2026 di peringkat negeri.
Di peringkat kebangsaan, majlis sambutan diadakan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing.
Sambutan turut diserikan dengan upacara tradisional ‘Yee Sang’ yang melambangkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan, selari dengan aspirasi VM2026 untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa menjelang tahun 2026.-EDISI UKAS