Agihan Limau Lambang Keharmonian, Teras Kekuatan Masyarakat Di Sarawak
BALINGIAN: Sumbangan buah limau sempena sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar tradisi perayaan, malah melambangkan keharmonian dan perpaduan antara kaum yang sekian lama menjadi teras kekuatan masyarakat di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, pemberian limau yang sinonim dengan simbol kemakmuran dan kesejahteraan membawa makna yang lebih besar apabila dikongsi bersama dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
“Sumbangan ini bukan hanya sekadar pemberian sempena perayaan, tetapi sebagai lambang perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Balingian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengagihkan sebanyak 80 kotak buah limau kepada keluarga yang menyambut perayaan tersebut di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, pada Selasa.
Abdul Yakub turut menegaskan bahawa perpaduan yang utuh merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan serta kesejahteraan kawasan terus terpelihara.
Justeru, beliau berharap sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini akan membawa sinar baharu, kemakmuran dan kebahagiaan kepada semua keluarga yang meraikannya.
Hadir memeriahkan agihan tersebut ialah ADUN Tellian, Royston Valentine, Ketua Masyarakat Cina Balingian, Penghulu Chan Kai Huan dan Kapitan Kueh Bing Chuan. - EDISI UKAS