Ahli Parlimen Batang Sadong Tinjau Operasi SAR Mangsa Dibaham Buaya, Santuni Keluarga Mangsa
SADONG JAYA: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee turun padang untuk meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa disambar buaya di Jambatan Batang Sadong.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Faizal Abdillah, 29, berasal dari Kampung Rangawan, Sadong Jaya dilaporkan disambar buaya dalam satu kejadian berhampiran Jambatan Batang Sadong kira-kira jam 11.00 pagi, pada Selasa.
Menurut maklumat awal, ketika kejadian air sedang surut dan mangsa bersama seorang rakannya berjalan kaki berhampiran jambatan berkenaan untuk menangkap udang menggunakan jala sebelum tiba-tiba disambar dan dilarikan oleh reptilia tersebut.
Operasi SAR segera diaktifkan melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Rodiyah turut meluangkan masa berjumpa dan menyantuni ahli keluarga mangsa di lokasi kejadian bagi memberikan kata-kata semangat serta sokongan moral.
Beliau juga menekankan agar pihak SFC melaksanakan program kesedaran di kawasan berisiko bagi memberi penerangan kepada penduduk kampung serta Persatuan Nelayan berhubung ancaman buaya dan langkah keselamatan yang perlu dipatuhi.
Setakat ini, Pusat Khidmat ADUN N25 Simunjan turut menyalurkan sumbangan berupa makanan dan minuman bagi kegunaan pasukan SAR sepanjang operasi dijalankan.
Mangsa bagaimanapun masih belum ditemui dan operasi SAR akan diteruskan hari ini.
Hadir sama, Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Rafendy Ariffin. -EDISI UKAS