Tindakan Agresif Perlu Kurangkan Populasi Buaya Di Sg Batang Sadong
SADONG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menegaskan tindakan lebih tegas dan agresif perlu dilaksanakan oleh agensi berkaitan bagi mengurangkan populasi buaya yang mengancam keselamatan penduduk di kawasan Sungai Batang Sadong.
Menurut beliau, sejak kebelakangan ini, kawasan berkenaan menyaksikan peningkatan kes melibatkan reptilia tersebut.
“Mohon agensi berkaitan menjalankan tindakan lebih agresif berkaitan buaya kerana dalam kebelakangan ini terlalu banyak kes melibatkan kawasan Sungai Batang Sadong.
“Tindakan lebih agresif perlu memandangkan kebanyakan penduduk di kawasan ini bergantung kepada sumber sungai sebagai punca rezeki,” kata beliau ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika turun padang meninjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian Operasi Mencari dan Menyelamat (Op SAR) yang berpusat berhampiran Jambatan Batang Sadong bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden serangan buaya yang dilaporkan berlaku semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.00 pagi Selasa, seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Faizal Abdillah, 29, dari Kampung Rangawan, Sadong Jaya, dilaporkan disambar buaya ketika berada di kawasan berkenaan.
Lawatan tersebut bertujuan menyatakan sokongan moral kepada pasukan penyelamat selain memastikan segala keperluan operasi berada dalam keadaan teratur dan mencukupi.
Sepanjang kunjungan itu, beliau turut diberi taklimat situasi semasa daripada agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Asajaya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang bekerjasama secara bersepadu dalam operasi berkenaan.
Selain agensi kerajaan, operasi mencari dan menyelamat turut disertai kumpulan Samarahan Crocodile Hunter serta penduduk kampung yang tampil membantu dalam usaha mengesan mangsa di sekitar lokasi kejadian.
Dalam pada itu, beliau turut meluangkan masa bertemu dan menyantuni ahli keluarga mangsa di lokasi kejadian bagi menyampaikan kata-kata semangat agar mereka terus tabah menghadapi dugaan tersebut.
Beliau juga menyerahkan sumbangan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga terbabit sepanjang tempoh operasi dijalankan.
Awla turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan sungai atau lokasi berisiko tinggi serta mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan pihak berkuasa akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.
Hadir sama ialah Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Barry William, Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba dan Penyelamat Asajaya, Andrew Mangga, Ketua Polis Balai Asajaya, Sjn Mohammad Ibrahim Abdullah serta Pegawai Pertahanan Awam Daerah Asajaya, Lt(PA) Hafizul Samah. -EDISI UKAS