KUCHING: Amalan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina (TBC) mencerminkan semangat sebenar perpaduan utuh rakyat di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, rumah terbuka di Sarawak benar-benar membawa maksud keterbukaan apabila semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama hadir bersama-sama meraikan perayaan tersebut tanpa memerlukan jemputan rasmi.
"Inilah yang dimaksudkan dengan pembangunan Sarawak di mana semua orang datang bersama-sama.
"Pembangunan Sarawak bukan bersifat memecah-belahkan dan bukan tentang polarisasi melampau juga bukan tentang berpolitik sepanjang masa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan kunjungan ke rumah kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chieng pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah itu menambah, lima tahun akan datang amat kritikal untuk Sarawak disebabkan negeri ini yang sedang berkembang dengan pesat.
Justeru katanya, penting untuk rakyat Sarawak terus mengekalkan semangat perpaduan ini dengan Tahun Baharu Cina ialah masa untuk menyampaikan perkara yang baik, bukan masa untuk bersikap negatif.
"Semoga perkara-perkara positif ini, naratif positif ini, dapat diteruskan sepanjang tahun kerana apabila kita membawa perkara yang positif, ia juga penting untuk pembinaan negara," jelasnya.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Dato Sri Ibrahim dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Cr Tan Kai. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Alezxandria Kapple (ST)