Ramadan Satukan Komuniti, 500 Pek Kurma Diagih Di Teku
SIBU: Semangat Ramadan dizahirkan dalam suasana penuh muhibah apabila Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee turun padang mengagihkan 500 pek buah kurma serta jadual waktu berbuka puasa kepada umat Islam di Pasar Tamu Teku, pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan hadir bersama kakitangan Pusat Khidmat Pelawan bagi menyantuni masyarakat setempat, sekali gus menyemarakkan suasana Ramadan yang hadir tidak lama selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut beliau, inisiatif tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dan perkongsian yang menjadi amalan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Keharmonian yang dinikmati di Sarawak tidak wujud secara kebetulan, sebaliknya terbina hasil asas perpaduan kukuh yang diasaskan oleh generasi terdahulu sejak penubuhan Sarawak dan pembentukan Malaysia pada 1963 dan terus dipelihara sehingga kini.
“Sebab itu, kita di Sarawak tidak melihat perbezaan kaum atau agama sebagai jurang pemisah, sebaliknya mengangkat identiti bersama sebagai anak Sarawak yang menjadi kekuatan utama negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengagihan di Teku merupakan hentian pertama, dengan program serupa akan diteruskan di lokasi lain dalam kawasan DUN Pelawan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Program Bubur Lambuk yang dianjurkan setiap tahun akan diteruskan dengan kerjasama Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) serta pasukan beruniform.
“Pengagihan sumbangan dan Bubur Lambuk itu bukan sahaja tertumpu kepada umat Islam, malah turut melibatkan semua lapisan masyarakat sebagai lambang perpaduan dan perkongsian kegembiraan sepanjang bulan puasa,” ujarnya.-EDISI UKAS